Wednesday 1 August 2012

Kesan-Kesan Penjelajahan

Penjelajahan dan penerokaan telah membawa kesan penting terhadap masyarakat tempatan. Dari segi politik, penguasa tempatan terpaksa membuat perjanjian dengan wakil Eropah untuk mengiktiraf kekuatan kuasa Eropah. Wakil-wakil Eropah ini terdiri daripada syarikat berpiagam yang telah diwujudkan di Belanda, Perancis, Great Britain dan Denmark. Antara syarikat berpiagam yang terkenal adalah seperti Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC), Syarikat Hindia Barat Belanda (WIC) dan Syarikat Hindia Timur Inggeris(EIC).

Dari segi ekonomi pula, daerah di luar Eropah telah menjadi pembekal kepada masyarakat Eropah. Pusat-pusat emporium seperti di Melaka dan Goa telah dijajah oleh Portugal. Barangan-barangan yang diperbuat di Timur telah memperkayakan lagi ekonomi dan gaya hidup rakyat Eropah. Dari segi sosial pula, masyarakat tempatan mula terpengaruh dengan gaya hidup orang Eropah. Ramai peribumi tempatan telah menganut agama Kristian. Mereka juga telah mengubah cara hidup dan kehidupan masyarakat tempatan.

Jalan pelayaran di Lautan Hindi pula telah dikuasai oleh orang Portugal. Sebelum mereka, pedagang-pedagang Islam Arab telah menguasai jalan berkenaan. Mereka telah menguasai bukan sahaja jalan perdagangan di Asia Tenggara dan Lautan Hindi malah mereka juga telah menguasai jalan perdagangan di Laut China Selatan.

Penjajahan yang dilakukan oleh pihak Sepanyol juga meninggalkan kesan terhadap masyarakat tempatan. Di Amerika Tengah dan Selatan, Sepanyol telah berperang lalu menakluk Mexico lantas menundukkan tamadun Aztec dan menakluk Peru dengan menghapuskan tamadun Inca. Penjajahan ini telah membawa penghijrahan beramai-ramai oleh orang Sepanyol ke Amerika Latin dan tinggal di situ.

Amerika Latin telah menjadi Dunia Baru kepada rakyat Sepanyol yang berhijrah ke sana. Amerika Latin merupakan sebuah kawasan yang dipenuhi emas dan perak. Oleh itu, rakyat Sepanyol beramai-ramai menjadikan kawasan ini sebagai tempat untuk mendapatkan emas dan perak. Berlainan pula pandangan golongan Gereja. Mereka melihat Amerika Latin sebagai tempat untuk menyebarkan agama Kristian. Para pemodal Sepanyol pula mengeksploitasi masyarakat peribumi untuk dijadikan buruh lombong dan buruh ladang. Di Timur pula, tiada petempatan orang Sepanyol secara besar-besaran namun Filipina merupakan negara yang dipengaruhi oleh kuasa Sepanyol; (Nik Hassan bin Nik Abdul Rahman et al.:2002:225-226). 

No comments:

Post a Comment