Wednesday 1 August 2012

Imperialisme British di Tanah Melayu

Imperialisme British bermula apabila British berjaya menduduki Pulau Pinang pada tahun 1786 setelah berjanji dengan Sultan Muhammad Jiwa, Sultan Kedah ketika itu untuk memberikan bantuan ketenteraan sekiranya negeri itu diserang. Namun janjinya tidak ditepati lalu peperangan antara Sultan Kedah dengan pihak British telah berlaku dan akhirnya kemenangan berpihak kepada British. Mereka telah menandatangi perjanjian untuk mengesahkan penempatan British di Pulau Pinang dengan janji pihak British akan membayar $600 setahun kepada Pulau Pinang; (Zainal Abidin Abdul Wahid et al.:1996:107-108).

Seterusnya, Inggeris telah dapat menduduki Singapura setelah mencampuri urusan perebutan takhta dikalangan Raja Johor. British sememangnya ingin menguasai Singapura kerana mempunyai kepentingan, iaitu sebagai pelabuhan singgahan utama bagi pedagang ke China dan sebagai pengkalan British untuk menguasai kawasan perdagangan di Kepulauan Indonesia. Pada tahun 1824 pula, Melaka telah diambil alih oleh Bitish daripada pihak Belanda setelah menandatangani Perjanjian Inggeris-Belanda. Perjanjian Inggeris-Belanda ini telah menukarkan Melaka kepada pemerintahan British manakala kepentingan British di Indonesia telah dipindah milikkan kepada Belanda. Ketiga-tiga negara ini telah bergabung dan dikenali sebagai Negeri-negeri Selat. Seterusnya, kuasa British telah berkembang ke seluruh Tanah Melayu dengan pelbagai tipu muslihat.

Maka pada akhir abad ke-18 dengan awal abad ke-19, British mempunyai tiga buah jajahan dan pelabuhan di sepanjang Selat Melaka, iaitu Pulau Pinang dan Seberang perai di utara, Melaka di tengah, dan Singapura di selatan. Pulau Pinang dan Seberang perai pada mulanya telah ditadbir oleh Francis Light sebagai Penguasa dan diletakkan di bawah pemerintahan Gabenor British di Culcutta. Pada tahun 1800, pentadbir Pulau Pinang bergelar Leftenan Gabenor Jeneral dan pentadbirannya disama tarafkan dengan pentadbiran di Benggala, Madras, dan Bombay di India. Pentadbiran di Singapura pula pada mulanya diketuai oleh Residen yang bertanggungjawab kepada Leftenan Gabenor di Bangkahulu. Dua tahun selepas Perjanjian London, Singapura telah diletakkan di bawah pemerintahan Gabenor Jeneral, sama seperti di Pulau Pinang (Fuziah Shaffie dan Ruslan Zainuddin.:2000:177).

James Brooke pula telah menguasai Sarawak setelah memberi bantuan keselamatan akibat pergaduhan pembesar di sana. Beliau dan keluarganya telah menjadi Rajah Putih di Sarawak selama beratus tahun. Namun, akibat masalah kewangan, Charles Vyner Brooke telah menyerahkan Sarawak kepada British pada tahun 1946. Ini bermakna bermulanya pemerintahan British di Sarawak. Manakala sebuah syarikat dagangan British, British North Borneo Company telah membeli wilayah-wilayah syarikat perniagaannya di Borneo Utara dan mengesahkan pendudukan British di Borneo Utara.


Imperialisme British di Burma

Kedatangan British tidak disenangi oleh penduduk Burma kerana British enggan mematuhi peraturan dan undang-undang di Burma. Contohnya, pegawai British enggan menghormati adat istiadat orang Burma ketika menghadap Raja. Pegawai British juga enggan menanggalkan kasut di dalam istana dan perkara ini dikenali sebagai masalah kasut. Keadaan ini telah merenggangkan hubungan antara Inggeris dengan Burma. Pedagang-pedagang di Rangoon juga sering mendesak supaya peluang berniaga di Burma dibuka kepada mereka.

Oleh itu, perluasan kuasa telah dijalankan sebanyak tiga peringkat, peringkat pertama berlakunya Perang Inggeris-Burma Pertama pada tahun 1824-1826 yang mengakibatkan British menguasai Arakan dan Tanasserim. Peringkat kedua pula berlaku apabila berlakunya Perang Inggeris-Burma Kedua pada tahun 1852 yang menyebabkan seluruh Burma Hilir telah dikuasai oleh British dan peringkat terakhir berlaku apabila Perang Inggeris-Burma Ketiga berlaku pada tahun 1886 yang menyebabkan wilayah Burma yang lain ditawan oleh British. Pihak British terpaksa menempuh tiga peperangan dengan Burma sebelum menguasai negara tersebut; (Anita Ganeri et al.:1998:171). 

No comments:

Post a Comment