Wednesday 1 August 2012

Faktor-Faktor Imperialisme Barat ke Asia Tenggara

Terdapat beberapa faktor yang mendorong kedatangan kuasa barat ke Asia Tenggara. Faktor-faktor tersebut ialah ekonomi, sosial dan politik.


Ekonomi
Revolusi Perindustrian memerlukan banyak bahan mentah bagi menjana perkembangan industri perkilangan. Keperluan ini menyaksikan kuasa-kuasa Barat berlumba-lumba untuk mendapatkan kawasan tanah jajahan baru, terutamanya di Asia Tenggara yang sememangnya mempunyai bahan-bahan mentah yang diperlukan. Penjajahan ke atas imperialisme Barat dapat menjamin bekalan bahan mentah yang berterusan dan tetap bagi sektor perkilangan mereka dan menjamin tempat untuk memasarkan hasil-hasil perindustrian yang dikeluarkan oleh mereka. Antara bahan-bahan mentah yang sangat dikehendaki oleh kuasa-kuasa Barat ialah bijih timah bagi menampung perkembangan perusahaan mengetin yang berkembang pesat di Eropah. Bahan mentah seperti getah diperlukan akibat perkembangan industri kereta, di samping menjadikan salutan dawai elektrik, dan penciptaan tayar getah. Kelapa sawit pula diperlukan kesan daripada penciptaan mesin penghancur buah dan minyak masak.

Bahan-bahan ini banyak ditemui di kawasan Asia Tenggara terutama di Tanah Melayu. Britain yang mengalami revolusi perindustrian telah mengorak langkah untuk menguasai negara di Asia Tenggara atas dasar kekuatan maritim dan menjadi kuasa imperialis yang kuat. Menjelang tahun 1830-an, Britain terpaksa bersaing dengan negara-negara Eropah lain dalam usaha memasarkan barangan keluaran kilangnya, terutama apabila Amerika Syarikat mengenakan tarif ke atas barangan Britain yang memasuki negaranya. Pengenalan tarif ke atas barangan kilang Britain oleh Amerika Syarikat adalah bertujuan melindungi kepentingan industri perkilangan dalam negaranya. Keadaan ini memaksa Britain mencari pasaran baru untuk memasarkan barangan keluaran kilangnya ke Asia dan Afrika memandangkan barangan buatan Britain tidak lagi dapat dieksport ke Amerika Syarikat dan Eropah secara mudah seperti dulu.

Penubuhan pengkalan Syarikat Hindia Timur Inggeris di Madras dan di Benggala di India semakin meluas bukan sahaja terhad kepada pantai barat benua kecil malah meliputi kawasan pantai timurnya. Sungguhpun begitu, kepentingan British di pantai timur India, khususnya di Madras sentiasa terdedah kepada serangan musuh terutama pada musim Angin Timur Laut antara bulan Oktober hingga bulan April setiap tahun. Lazimnya pada masa inilah, tentera laut British belayar ke Bombay bagi mengiringi kapal dagang British yang membawa dagangan dari Timur. Dalam keadaan inilah pihak musuh terutamanya Perancis mengambil kesempatan melancarkan serangan ke atas Madras. Hal ini menyebabkan Syarikat Hindia Timur Inggeris berusaha mendapatkan satu tempat di Teluk Benggala sepanjang musim Angin Timur Laut; (Fuziah Shaffie dan Ruslan Zainuddin.:Sejarah Malaysia:2000:164). Revolusi perindustrian juga telah berjaya mempercepatkan pelayaran dan menyediakan kemudahan pengangkutan dan perhubungan dengan pengenalan kapal berkuasa wap. Penciptaan kapal ini memudahkan penghantaran barangan ke pasaran kerana dapat membawa muatan yang banyak. Tambahan pula kapal berkuasa wap boleh bergerak lebih laju pada bila-bila masa tanpa perlu bergantung pada tiupan angin. Pada penghujung abad ke-19, kapal berkuasa wap telah digunakan secara meluas dalam perdagangan antarabangsa. Kemajuan dalam sistem pengangkutan laut telah mempercepatkan penghantaran bahan mentah dari Asia Tenggara ke negara Eropah menyebabkan keperluan bahan mentah untuk kilang tidak akan terputus.

Pembukaan Terusan Suez pada tahun 1869 berjaya memendekkan jarak perjalanan antara Barat dengan Timur kerana kapal-kapal dagang tidak perlu merentasi pantai Afrika. Fenomena ini mempercepatkan penghantaran barang dan dapat menjimatkan kos di samping menjadikan barang dagangan di jual dengan lebih murah. Perkembangan dan penciptaan alat komunikasi seperti telegraf membolehkan penguasaha Barat menghubungi ejen-ejen mereka di Timur dengan lebih cepat bagi mengetahui keadaan pasaran barangan mereka di Asia Tenggara di samping mendapatkan pesanan bahan-bahan mentah dari Asia Tenggara. Kesemua usaha-usaha yang dilakukan oleh imperialisme Barat di Asia Tenggara adalah untuk menjamin kepentingan ekonomi negara mereka tidak terjejas.


Sosial
Selaras dengan kemajuan yang dicapai oleh negara Barat, mereka beranggapan adalah menjadi tanggungjawab sosial mereka untuk mentamadunkan penduduk Asia Tenggara yang dilihat masih mundur kerana bergantung kepada kegiatan berasaskan pertanian mereka. Orang Barat beranggapan kebudayaan dan tamadun mereka lebih tinggi (superior) daripada masyarakat Asia Tenggara berdasarkan pencapaian mereka dalam bidang sains dan teknologi.

Mereka melaungkan konsep 'White Mens Burden' atau 'Beban Orang Putih' seperti yang dicanangkan oleh penyair Inggeris, Rudyard Kipling. Mengikut orang Perancis sebagai Mission Civilisatrice dan orang Amerika sebagai The Blessing of Anglo-Saxon Protection. Mereka menyatakan oleh kerana tamadun mereka sudah mengalami perubahan besar dalam ekonomi dan sosial adalah menjadi kewajipan dan tugas mereka mentamadunkan bangsa lain, khususnya mereka yang dijajah yang dianggap masih mundur. Rantau Asia Tenggara dilihat sebagai sebuah rantau yang sangat berpotensi untuk menyebarkan kebudayaan Barat kerana ketika itu masyarakat Asia Tenggara masih lagi mundur dan belum terdedah kepada kebudayaan Barat yang dianggap tinggi. Alasan begini dilaungkan oleh kuasa Barat apabila mereka cuba mempertahankan sebab-sebab dasar imperialisme dilakukan ke atas negara-negara Asia Tenggara.

Keagungan tamadun Barat yang disebarkan ke negara Asia Tenggara juga melibatkan soal agama dimana mubaligh Kristian mengambil kesempatan menyebarkan agama Kristian di kalangan penduduk Asia Tenggara. Mubaligh Kristian menggunakan pelbagai cara untuk menarik minat masyarakat Asia Tenggara untuk menganut agama Kristian sama ada melalui aktiviti kebajikan atau pendidikan dengan menubuhkan sekolah yang ditakbir oleh mubaligh Kristian, seperti di Filipina dan Indo-China. Keinginan Kristian untuk menyebarkan agama Kristian dan tamadun Eropah juga pendorong kepada dasar imperialisme Asia Tenggara. Tambahan pula agama Kristian telah berpecah kepada beberapa mazhab seperti Katolik, Protestan, Anglican, Methodist dan Jesuit, menyebabkan mereka berlumba-lumba dan bersaing dalam penyebaran agama Kristian di Asia Tenggara. Masyarakat Eropah percaya mereka mestilah mengorbankan kesenangan dan kemewahan yang dimiliki supaya dapat mentamadunkan masyarakat Asia Tenggara.


Politik
Pembentukan negara bangsa di Eropah menyebabkan negara-negara tersebut berlumba-lumba untuk mendapatkan kawasan jajahan baru bagi menaikkan status negara mereka. Penguasaan dan pemilikan kawasan tanah jajahan yang luas dan banyak merupakan simbol kekuatan dan keagungan sesebuah negara. Keadaan ini mendorong kuasa Barat bersaing sesama sendiri bagi mendapatkan jajahan baru di Asia Tenggara.

Persaingan antara kuasa-kuasa Barat adakalanya berlaku peperangan dan untuk mengelakkannya, pelbagai perjanjian telah dibuat antara mereka bagi menentukan kawasan pengaruh masing-masing. Misalnya, perjanjian Inggeris-Belanda merupakan perjanjian yang telah ditandatangani oleh pihak Inggeris dan Belanda untuk menentukan kawasan pengaruh mereka. Perkembangan idea nasinalisme di Eropah juga merupakan dorongan ke arah dasar imperialisme kerana prestij menjadi faktor utama berdasarkan keluasan tanah jajahan yang dikuasai dan simbol kekuatan dikalangan negara Eropah. 

2 comments: