Wednesday 1 August 2012

BAB 1-Sejarah Form 2

SHTI Mengambil Pulau Pinang
Kedah merupakan negeri Melayu yang pertama mengadakan hubungan dengan British. Ini adalah kerana pemerintahnya didesak oleh keadaan-keadaan yang berlaku dalam negeri. Sebelum 1770-an, negeri Kedah adalah sebuah negeri yang kaya dan makmur. Ia mula menghadapi masalah politik apabila satu pemberontakan berlaku semasa pemerintahan Sultan Muhammad Jiwa (1723 - 1778). Sultan Muhammad Jiwa tidak mempunyai putera untuk mewarisi takhta. Baginda telah melantik Tunku Abdullah sebagai warisnya. Perlantikan Tunku Abdullah ditentang oleh kerabat diraja Kedah kerana beliau adalah seorang putera yang bukan anak gahara.Pada masa itu, Kedah juga menerima ancaman daripada orang Bugis yang diketuai oleh Raja Haji. Kerabat diraja Kedah telah membuat pakatan sulit dengan orang Bugis di Selangor untuk menyerang Kedah. Ancaman dari Siam dan Bugis terhadap negeri Kedah memberi laluan kepada Inggeris apabila Sultan Kedah menawarkan Pulau Pinang untuk dijadikan pangkalan perdagangan.

Pada April 1771, Francis Light mewakili firma Jourdain, Sulivan and de Sauza telah berunding dengan Sultan Kedah dan satu perjanjian telah ditandatangani. Dengan itu Firma Jourdain boleh berniaga di Kuala Kedah dengan syarat Kedah mesti dilindungi. Perjanjian itu dibatalkan apabila firma Jourdain enggan membantu Sultan Kedah menyerang orang Bugis di Selangor.

Sultan Muhammad Jiwa telah mengutuskan surat kepada Gobenor SHTI iaitu Warren Hastings melalui Edward Monckton bagi meminta bantuan Inggeris untuk menyerang orang Bugis pada April 1772. Monckton diarahkan untuk mendapatkan persetujuan Sultan Kedah bagi menubuhkan sebuah loji Inggeris di Kedah. Namun, Inggeris enggan memberi bantuan. Pada 1773, Sultan Abdullah Mukarram Syah memperbaharui tawaran menyerahkan Pulau Pinang kepada Inggeris kerana bimbang akan serangan Siam ke atas Kedah. Baginda mewakili Francis Light menyampaikan tawarannya kepada Gabenor Jeneral di India. Antara syarat yang dikenakan ialah:

· SHTI dikehendaki melindungi Kedah daripada ancaman musuh.
· Semua kapal dagang hendaklah dibenarkan berdagang dengan bebas sama ada di Kedah ataupun di Pulau Pinang.
· SHTI dikehendaki membayar kepada sultan sebanyak $30,000 setahun.
· Sesiapa sahaja dalam negeri Kedah yang menjadi musuh kepada sultan juga akan menjadi musuh SHTI.

Sultan Abdullah terpedaya dengan janji-janji kosong Light untuk membenarkannya menduduki Pulau Pinang. Pada 11 Ogos 1786, Light dengan rasminya menduduki Pulau Pinang (Prince of Wales). Georgetown dijadikan ibu kota Pulau Pinang. Beliau menjadi Penguasa Inggeris di Pulau Pinang sehingga kematiannya pada 1794. Sultan Abdullah mendesak Light supaya keluar dari Pulau Pinang apabila beliau enggan menunaikan janji-janjinya untuk membantu Kedah. Light enggan keluar dari Pulau Pinang dan terlebih dahulu menyerang dan mengalahkan Kedah pada bulan April 1791. Pada 11 Mei 1791, baginda terpaksa menandatangani perjanjian dengan SHTI. Syarat-syarat perjanjian itu ialah:

· SHTI akan membayar $6,000 setahun kepada Sultan Kedah selagi menduduki Pulau Pinang.
· SHTI dibenarkan mengambil Pulau Pinang.
SHTI Mengambil Seberang Prai
Selain daripada Pulau Pinang. SHTI juga memerlukan Seberang Prai untuk dijadikan benteng pertahanan dan juga keperluan makanan. SHTI sekali lagi telah menipu Sultan Dziauddin yang mana pada ketika itu memerlukan bantuan ketenteraan untuk menyerang Siam. Baginda terpaksa menandatangani Perjanjian Persahabatan Dan Perikatan 1800 dengan George Leith. Antara syarat perjanjian tersebut ialah:
· Sultan Kedah menyerahkan Seberang Prai
· SHTI akan membayar 10000 dolar sepanyol setahun bagi Pulau Pinang dan Seberang Prai.
SHTI Mengambil Singapura
Stamford Raffles tiba di Singapura pada 28 Januari 1819. Singapura didapati sesuai untuk dijadikan pangkalan dan pusat perdagangan kerana terletak di pertengahan jalan perdagangan India-China. Singapura juga terletak dalam laluan jalan perdagangan di Selat Melaka. Pelabuhannya dalam dan terlindung daripada angin taufan. Raffles mendapat tahu bahawa Singapura berada di bawah pengaruh Belanda kerana ia sebahagian daripada empayar Johor-Riau. Pada masa itu, Singapura ditadbir oleh Temenggung Abdul Rahman iaitu pada tahun 1819.

Raffles telah mengadakan perjanjian dengan Temenggung Abdul Rahman. Berdasarkan perjanjian itu :

· Inggeris dibenarkan membina loji di Singapura.
· Inggeris dikehendaki membayar $3,000 setahun kepada Temenggung.

Perjanjian itu sebenarnya tidak sah kerana tidak diiktiraf oleh Sultan Johor. Raffles yang berusaha memperolehi Singapura bercadang mengiktiraf Tengku Hussein sebagai Sultan Johor yang sah. Tengku Hussein (Tengku Long) adalah abang kepada Sultan Abdul Rahman yang memerintah Johor. Sebenarnya, Tengku Hussein adalah waris sah takhta kerajaan Johor. Semasa kemangkatan Sultan Mahmud Syah III pada 1812, Tengku Hussein berada di Pahang. Beliau tidak dapat menghadiri upacara pengkebumian ayahandanya. Mengikut Adat Raja-raja Melayu, pengkebumian hanya dijalankan setelah pengganti sultan ditabalkan. Oleh itu, orang Bugis di Riau melantik Tengku Abdul Rahman (putera bongsu) sebagai Sultan Johor yang baru. Perlantikan itu mendapat sokongan Belanda. Sebaliknya, pembesar-pembesar Melayu masih memihak kepada Tengku Hussein yang sepatutnya menjadi sultan kerana beliau adalah putera sulung. Bagaimanapun, mereka tidak berani menentang orang Bugis dan Belanda. Temenggung Abdul Rahman menyambut baik hasrat Raffles untuk mengiktiraf Tengku Hussein sebagai Sultan Johor.
Tengku Hussein bersama-sama pengikutnya belayar dari Johor ke Singapura. Satu upacara diadakan oleh Raffles untuk menabalkan Tengku Hussein sebagai Sultan Johor-Riau yang sah di Padang pada 6 Februari 1819. Selepas pertabalan, Sultan Hussein mengiktiraf perjanjian awal antara Raffles dengan Temenggung Abdul Rahman. Dalam perjanjian ini, Inggeris dibenarkan membina loji di Singapura dan perlu membayar $5,000 kepada Sultan dan $3,000 kepada Temenggung.
SHTI Mengambil Melaka 

Tindakan Stamford Raffles membuka petempatan di Singapura pada tahun 1819 telah dibantah olehBelanda. Belanda mendakwa Singapura berada dalam lingkungan pengaruhnya. Kepesatan Singapura sebagai pelabuhan dikhuatiri akan menjejaskan perdagangan Betawi iaitu pelabuhan utama Belanda. Perkembangan pesat Singapura sebagai pelabuhan perdagangan membuatkan British bertekad untuk terus kekal di sana. Ketegangan antara kedua-dua kuasa ini akhirnya diselesaikan menerusi perjanjian Inggeris-Belanda tahun 1824. Antara kandungan yang terdapat dalam perjanjian itu ialah? pertukaran antara Melaka dan Bangkahulu . Belanda menyerahkan Melaka kepada British dan sebaliknya. Perjanjian London,1824 meletakkan kawasan ke utara Selat Melakadi bawah pengaruh British. Tiga petempatan penting dikuasai oleh British, iaitu Pulau Pinang, Singapura dan Melaka. Pada 1826, kerajaan British menyatukan ketiga-tiga petempatan ini di bawah satu unit politik yang dikenali sebagai Negeri-negeri Selat (NNS).
Pentadbiran Negeri-Negeri Selat

NNS diletakkan di bawah pentadbiran SHTI yang berpusat di India. Seorang Gabenor mengetuai pentadbiran NNS. Beliau bertanggungjawab terus kepada Gabenor Jeneral di India. Pentadbirannya dibantu oleh sebuah majlis dan sebilangan pegawai awam. Gabenor NNS yang pertama ialah Robert Fullerton. Kerajaan tempatan di Melaka dan Singapura diketuai oleh Residen Konsular. Pulau Pinang dijadikan ibu negeri dan pusat pentadbiran bagi NNS. Pada 1826, NNS menjadi Presidensi India keempat dan setaraf dengan Presidensi Madras, Benggala dan Bombay. Pada 1830, Presidensi NNS diturunkan tarafnya kepada Residensi dan berada di bawah Presidensi Benggala. Langkah ini bertujuan mengurangkan perbelajaan pentadbiran. Pada tahun 1832, kepesatan Singapura sebagai pusat perdagangan menyebabkan ibu negeri NNS dipindahkan dari Pulau Pinang ke Singapura. Jawatan Gabenor diadakan semula. NNS pernah berada di bawah kawalan 4 bentuk pentadbiran:

· Kerajaan Benggala (1831-1851).
· Pejabat Gabenor Jeneral (1851-1858)
· Pejabat India (1858-1867)
· Pejabat Tanah Jajahan di London (mulai 1867)

Pada 1 April 1867 pentadbiran Negeri-negeriSelat dipindahkan dari Culcutta ke Pejabat Tanah Jajahan di London. Negeri-negeri Selat menjadi Tanah Jajahan Mahkota dan diperintah oleh seorang Gabenor. Sir Harry Ord dilantik menjadi Gabenor negeri-negeri Selat dan sebuah Majlis Perundangan ditubuhkan bagi membolehkan NNS meluluskan undang-undangnya sendiri.

No comments:

Post a Comment