Wednesday 1 August 2012

BAB 6-Sejarah Form 2

Kegiatan Pertanian Dagangan
Tanaman Rempah dan Lada Hitam
Lada hitam ditanam di Pulau Pinang sejak 1790-an dan dieksport terutamanya ke Britain dan kemudiannya diedarkan ke Eropah. Penanaman lada hitam merosot ketika pemerintahan Napoleon di Perancis kerana beliau menyekat eksport Britain ke Eropah.
Ladang-ladang lada hitam dan gambir mula dibuka di sepanjang Selat Tebrau antara 1840-an dan 1850-an. Kedua-dua tanaman ini menjadi eksport penting bagi Johor sehingga awal kurun ke-20. Tanaman lada hitam juga banyak ditanam di Sarawak.


Buah Pala dan Cengkih

Pada awal kurun ke-19, kedua-dua tanaman ini ditanam di Pulau Pinang. Pengusaha-pengusaha ladang menanam buah pala dengan luasnya kerana harganya di pasaran lebih tinggi berbanding bunga cengkih. Bagaimanapun, menjelang pertengahan kurun ke-19, kebanyakan pengusaha ladang tidak lagi menanam buah pala kerana menghadapi beberapa masalah seperti :
Penanaman tanaman ini melibatkan kos buruh yang tinggi.
Tanaman ini seringkali diserang penyakit.
Tanaman ini mengambil masa selama 5 tahun untuk berbuah.
Harga pasarannya tidak tetap.
Tebu

Sebelum 1800, tebu ditanam di Batu Kawan, Seberang Perai. Penanaman tebu mula mendapat sambutan di kalangan peladang-peladang apabila berlaku kemerosotan dalam penanaman lada hitam dan buah pala. Kawasan utama penanaman tebu tertumpu di bahagian selatan Seberang Perai. Selepas 1874, tanaman ini diusahakan dengan meluas di Perak.
Nanas

Kawasan penanaman nanas terletak di Selangor dan Johor. Di sini, kilang-kilang mengetin nanas didirikan. Perkembangan penanaman nanas pada pertengahan 1920-an terhalang akibat persaingan dengan perusahaan getah.
Tanaman Baru Memantapkan Ekonomi British
Kelapa dan Kelapa Sawit 

Kelapa sawit mula ditanam di Kuala Selangor pada 1917. Benih kelapa sawit adalah berasal dari Afrika Barat. Kelapa sawit ditanam dengan luasnya di Johor, Perak dan Selangor. Johor merupakan pengeksport utama minyak kelapa sawit di Tanah Melayu pada akhir 1920-an.
Pada 1933, Oil Palms Of Malaya Ltd membuka sebuah kilang memproses minyak kelapa sawit di Layang-Layang, Johor. Minyak kelapa sawit ini dieksport terutamanya ke Britain dan Kanada. Ia digunakan untuk membuat sabun , marjerin, lilin dan minyak masak.
Kelapa ditanam oleh pekebun-pekebun kecil dan dieksport dalam bentuk kelapa kering atau kopra. Pada tahun 1930, sebanyak 9,000 tan minyak kelapa dieksport dan jumlah ini meningkat tiga kali ganda pada tahun 1935.
Teh

Kawasan penanaman teh yang utama ialah Tanah Tinggi Cameron. Penanaman teh di tempat ini diuruskan oleh Syarikat Boh Valley Plantation Limited. Teh yang ditanam adalah jenis Teh Ceylon yang mempunyai gred tinggi. Ia menjadi satu bahan eksport yang penting pada 1930-an.
Tembakau

Pekebun-pekebun kecil menanam tembakau apabila harga getah dan kelapa merosot. Pada 1930-an, tembakau ditanam di Pahang.
Perkembangan Perusahaan Getah

Getah ialah tanaman dagangan yang penting pada kurun ke-20 yang mula diperkenalkan di Tanah Melayu oleh orang British pada akhir kurun ke-19. Pada 1876, Sir Henry Wickham mendapatkan biji getah dari Brazil dan menghantarnya ke Taman Kew di London untuk tujuan percambahan.
Dari London, anak benih getah dihantar ke Sri Lanka dan kemudiannya ke Singapura. Benih-benih getah ini seterusnya dihantar ke tempat kediaman Residen Perak, Sir Hugh Low di Kuala Kangsar. Benih-benih ini adalah daripada jenis Hevea Brasiliensis. Pada mulanya, getah hanya ditanam secara kecil-kecilan di Perak, Selangor dan Negeri Sembilan oleh peladang-peladang British.

Institut Penyelidikan Getah ditubuhkan pada 1926 di Kuala Lumpur. Badan ini berfungsi menjalankan penyelidikan bagi meningkatkan mutu pengeluaran getah. Perubahan dalam kegiatan ekonomi di Tanah Melayu pada kurun ke-19 didorong oleh tiga faktor berikut :
· Terdapat modal asing.
· Wujudnya sistem pengangkutan yang baik.
· Terdapatnya tenaga buruh yang banyak dan murah.
Syarikat-syarikat Eropah seperti Guthrie dan Harrisons & Crosfield membuka ladang-ladang getah yang besar di Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Getah juga ditanam di Kedah, Melaka dan Johor. Orang Melayu turut mengusahakan penanaman getah dan saiz keluasan kawasan penanaman tidak melebihi 4 hektar. Pada 1897, keluasan tanaman getah di Negeri-negeri Melayu Bersekutu ialah 140 hektar sahaja. Bagaimanapun, keluasannya meningkat kepada 16,200 hektar pada 1905. Selepas 1906, beribu-ribu hektar tanah dibuka untuk penanaman getah.

Kemerosotan Perusahaan Getah

Kemelesetan ekonomi dunia pada tahun 1920-an menyebabkan harga getah di pasaran merosot. Pengeluaran mula melebihi permintaan di pasaran. Rancangan Pembatasan Getah Stevenson diperkenalkan pada tahun 1922 untuk mengawal harga getah di pasaran dunia. Rancangan ini ditamatkan pada tahun 1926 kerana Belanda dan Indonesia enggan mengehadkan pengeluarannya.
Pada tahun 1934, Rancangan Kawalan Getah Antarabangsa telah ditubuhkan untuk mengawal eksport getah dan menstabilkan harganya di pasaran dunia.
Negara-negara pengeluar yang menganggotai rancangan ini ialah Tanah Melayu, Indo-China, Borneo Utara, Sarawak, Sri Lanka, Burma, India dan Negara Thai. Melalui rancangan ini, setiap negara anggota diberi kuota penanaman dan kuota eksport. Rancangan ini berjaya menaikkan semula harga getah. Selepas Perang Dunia Kedua, masa depan getah asli mula terancam dengan penciptaan getah tiruan dari barat.
Perkembangan Perusahaan Perlombongan

Kemajuan Perlombongan

Kekayaan hasil bumi di Tanah Melayu menjadi tarikan dagangan kepada pedagang-pedagang asing. Sementara itu, kuasa-kuasa Barat berlumba-lumba untuk menguasai Negeri-negeri Melayu semata-mata untuk mengeksploitasikan hasil bumi dari negara ini untuk kepentingan perdagangan mereka di Eropah.
Kemunculan perusahaan perlombongan sebagai sumber ekonomi membawa kemakmuran kepada negeri-negeri Melayu pada kurun ke-20. Antara hasil perlombongan utama di Tanah Melayu ialah bijih timah. Di samping itu, ada juga hasil galian-galian lain yang menjadi penyumbang kepada sumber ekonomi .
Kepesatan aktiviti perlombongan terutamanya bijih timah memberi kesan yang besar kepada pola kehidupan masyarakat di Tanah Melayu. Negeri-negeri di Kepulauan Borneo seperti Sabah dan Sarawak turut diminati kerana kekayaan hasil galiannya.
Perlombongan Galian-galian Lain
Selain bijih timah, Tanah Melayu juga mempunyai beberapa jenis galian lain yang dilombong sejak tahun 1920-an. Antara galian-galian tersebut adalah

Emas - Raub (Pahang), Batang Padang ( Perak)
Arang Batu - Batu Arang ( Selangor )
Bijih Besi - Temangan - ( Kelantan ), Bukit Besi -(Terengganu), Endau ( Johor)
Mangan - Machang ( Kelantan ), Gual Periok ( Kelantan ).
Bauksit - Bukit Pasir ( Johor )
Llmanit - Batang Padang ( Perak )
Galian-galian lain di Tanah Melayu

Pada tahun 1921, Syarikat Ishihara Sangya mula melombong bijih besi di Johor. Jepun merupakan negara pembeli utama bijih besi yang dikeluarkan oleh Tanah Melayu. Perlombongan bauksit yang terawal dijalankan di Bukit Pasir (berhampiran Batu Pahat) pada 1836.
Kemudian dua buah lombong bauksit dibuka di Perigi Acheh dan Sri Medan. Kedua-dua lombong ini ditutup pada 1941. Sebuah lombong bauksit dibuka di Teluk Rumania dan ia mengeluarkan hasil sehingga hari ini. Kebanyakan bauksit dieksport ke Jepun. Bauksit digunakan untuk menghasilkan aluminium.

Perlombongan Bijih Timah pada Kurun Ke-20

Pelombong Cina menguasai perusahaan timah sehingga tahun 1920-an. Pada awal kurun ke-20, pelabur Eropah memainkan peranan yang penting dalam perusahaan timah. Kapal korek mula diperkenalkan di Batu Gajah oleh Syarikat Malayan Tin Dredging pada tahun 1912. Kapal korek yang pertama di Selangor dipasang pada tahun 1918. Syarikat Gopeng Consolidated Tin Co. Ltd. diasaskan pada tahun 1912 dan mula menggunakan kapal korek pada lewat 1920-an. Kapal korek merupakan satu alat perlombongan yang amat berkesan. Ia membolehkan syarikat Eropah mengeluarkan hasil yang lebih banyak daripada syarikat yang dimiliki oleh orang Cina.
Terdapat kira-kira 20 buah kapal korek pada tahun 1920. Penggunaannya bertambah kepada 107 buah pada tahun 1939. Kira-kira 2/3 daripada pengeluar timah Tanah Melayu dihasilkan oleh pelombong Eropah. Ini bermakna perusahaan bijih timah dikuasai oleh pengusaha Eropah.
Perkembangan Perusahaan Bijih Timah

Kedatangan orang Cina melabur dan menyediakan bekalan tenaga buruh di lombong-lombong bijih timah menggalakkan kegiatan perlombongan. Perusahaan ini berkembang dengan begitu pesat disebabkan faktor-faktor berikut:
Kemajuan teknik pengeluaran bijih timah seperti penggunaan kapal korek meningkatkan pengeluaran.
Wujudnya keamanan dan kerajaan yang stabil di bawah pentadbiran British.
Perang saudara dan kegiatan kongsi gelap Cina dapat ditamatkan.

Perkembangan Sistem Pengangkutan Dan Perhubungan
Perubahan Sistem Pengangkutan Kereta Api

Pengangkutan kereta api diperkenalkan di Tanah Melayu pada lewat kurun ke-19. Tujuannya adalah untuk mempercepatkan pengangkutan bijih timah dari kawasan lombong ke pelabuhan-pelabuhan di sepanjang pantai. Tokoh yang bertanggungjawab ke atas pembinaan jalan kereta api yang pertama ialah Sir Hugh Low, Residen Perak yang kedua. Di Selangor, Frank Swettenham membina sebuah landasan kereta api dari Kuala Lumpur ke Bukit Kuda berhampiran dengan Kuala Klang. Stesen kereta api tetap yang pertama dibina di Kuala Lumpur pada tahun 1892. Sebelum 1908, landasan kereta api dari Seremban ke Port Dickson dikendalikan oleh sebuah syarikat swasta.
Kemudiannya, landasan itu menjadi milik kerajaan negeri-negeri Melayu apabila ia dibeli daripada syarikat tersebut. Pembinaan jalan kereta api yang menghubungkan negeri-negeri hanya dimulakan selepas pembentukan Persekutuan pada tahun 1896.
Menjelang 1941, satu sistem jalan kereta api yang lengkap dibina di Tanah Melayu. Hanya Terengganu sahaja yang tidak mempunyai sistem perkhidmatan kereta api. Tambak Johor yang siap dibina pada tahun 1923 merentasi Selat Tebrau untuk menghubungkan Tanah Melayu dengan Singapura. Tahun Perkembangan Pembinaan Jalan Keretapi Api

1885 1885 - Taiping ke Port Weld ( Kuala Sepetang )
1886 1886 - Kuala Lumpur ke Bukit Kuda
1887 1887 - Kuala Lumpur ke Pelabuhan Swettenham ( Pelabuhan Klang )
1888 1888 - Seremban ke Port Dickson
1893 - Tapah ke Teluk Anson ( Teluk Intan )
1895 1895 - Tapah ke Ipoh
1909 - Seberang Perai ke Johor Bahru
1918 - Perai, Bukit Mertajam, Sungai Patani, Alor Setar dan Padang Besar.
1926 - Johor Bahru ke Singapura
1931 1931- Gemas ke Bahau, Mentakab, Kuala Lipis, Gua Musang, Tumpat dan Sungai Golok.
Jalan Raya

Pada awal 1880-an, terdapat rancangan untuk membina jalan raya di Sungai Ujong. Jalan raya ini menghubungkan Melaka dengan Seremban yang menghubungi kawasan lombong dan ladang. Pada pertengahan tahun 1880-an, jalan raya dibina di beberapa kawasan di Negeri Sembilan, iaitu antara Johol dengan Kuala Pilah dan antara Linggi dengan Lubuk Cina.
Jalinan jalan raya bertambah dengan pengenalan kereta bermotor pada tahun 1902. Jalan-jalan raya yang awal dibina menghubungkan ladang-ladang getah dengan stesen-stesen kereta api dan pelabuhan-pelabuhan. Pada kurun ke-20, pembinaan jalan raya dikendalikan oleh Jabatan Kerja Raya di Kuala Lumpur.
Tahun Pembinaan Jalan Raya Utama

1899 1899 - Kuala Lumpur ke Kuantan
1900 1900 - Kuala Lumpur ke Perai
1928 - Singapura ke Perlis

Perkembangan sistem jalan raya di Pantai Timur Tanah Melayu tidak sepesat di pantai barat. Jalan raya di Pantai Timur dibangunkan terutamanya selepas tahun 1928. Jalan raya utama melalui Terengganu dan Pahang dan jalan Timur-Barat Tanah Melayu selesai dibina selepas Perang Dunia Kedua.
Kebanyakan jalan raya utama dibina selari dengan landasan kereta api. Dengan pertambahan jalan raya, jumlah kenderaan semakin meningkat antara tahun 1920-an dan 1930-an. Kereta motor merupakan alat pengangkutan darat yang utama. Bas pula digunakan sebagai kenderaan awam dan lori sebagai kenderaan pengangkutan.
Pengangkutan Laut

Pada masa dahulu, perahu, sampan dan kapal layar yang kecil menyediakan perkhidmatan kepada pelabuhan-pelabuhan di sepanjang pantai seperti Muar, Port Weld, Teluk Anson, Kuala Klang, Melaka dan Port Dickson. Orang Cina giat mengusahakan dan menguasai syarikat-syarikat perkapalan yang menyediakan perkhidmatan kepada Negeri-negeri Selat, negeri-negeri Melayu dan Hindia Timur. Syarikat perkapalan menjalankan perkhidmatan di Pantai Timur seperti di Kuala Pahang, Kuala Terengganu dan Kuala Kelantan.
Pada tahun 1890, seorang Belanda menubuhkan Straits Steamship Company. Syarikat ini menjadi syarikat terpenting dalam menyediakan perkhidmatan perkapalan kepada pelabuhan di negeri-negeri Melayu. Perkembangan sistem kereta api antara Seberang Perai ke Johor menyebabkan pelabuhan-pelabuhan tradisional seperti Port Weld dan Teluk Anson merosot. Pada 1900, Pelabuhan Swettenham dibina untuk memberi perkhidmatan kepada negeri Selangor. Pelabuhan ini disinggahi oleh kapal-kapal laut dan akhirnya ia menjadi salah sebuah pelabuhan utama di Tanah Melayu.
Perkembangan Dan Kemajuan Infrastruktur

Perusahaan bijih timah dan getah serta perdagangan menyebabkan bilangan kaum asing bertambah di Tanah Melayu. Dengan pertambahan penduduk, kemudahan yang pelbagai jenis diperkenalkan, terutamanya di bandar-bandar baru. Bandar-bandar menyediakan peluang-peluang persekolahan dan pekerjaan. Perkhidmatan awam seperti pos dan telegraf dibekalkan untuk menyenangkan perhubungan antara bandar-bandar. Di Selangor, bandar Kuala Lumpur merupakan bandar yang paling banyak mengalami kemajuan kerana kedudukannya yang strategik di pertemuan Sungai Gombak dan Sungai Klang.

Perubahan dalam Bidang Pendidikan

Sistem pendidikan di Malaysia bermula sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka. Pendidikan yang diadakan pada masa itu ialah pendidikan agama Islam. Masjid dan surau merupakan tempat pengajian agama Islam.
Pembukaan bandar-bandar baru telah menjadikan bandar-bandar ini pusat tumpuan kemudahan dan perkhidmatan. Salah satu perkhidmatan yamg membantu perkembangan sosial masyarakat Malaysia ialah sistem pendidikan. Sistem pendidikan pada zaman pentadbiran Inggeris di Tanah Melayu dapat dibahagikan kepada lima aliran iaitu sistem pendidikan Melayu tradisional, sistem pendidikan Melayu , pendidikan Inggeris , pendidikan Cina dan pendidikan Tamil .
Sementara itu sistem pendidikan di Sabah dan pendidikan di Sarawak. juga turut diperkenalkan. Pada akhir kurun ke-19 dan awal kurun ke-20, beberapa buah Maktab Perguruan ditubuhkan untuk menambahkan bilangan guru terlatih.
Pendidikan Melayu

Pada peringkat awal, orang Melayu menerima pendidikan tidak formal serta pengajaran agama dan bahasa Arab. Buku-buku Arab diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Sekolah Melayu yang pertama di Tanah Melayu ialah Sekolah Melayu Gelugor. Sekolah ini dibina pada 1826 di Pulau Pinang.
Ia merupakan salah satu cawangan Sekolah Penang Free. Selain daripada itu, terdapat dua buah cawangan lagi, iaitu Sekolah Melayu di Bayan Lepas dan Sekolah Melayu di Ayer Hitam. Beberapa buah sekolah Melayu lagi ditubuhkan pada pertengahan kurun ke-19.
Bilangan sekolah Melayu bertambah setelah pihak British campur tangan di negeri-negeri Melayu pada tahun 1874. Terdapat kira-kira 190 buah sekolah Melayu di Tanah Melayu pada tahun 1892. Walaupun demikian, pendaftaran di sekolah-sekolah Melayu masih tidak menggalakkan.
Untuk mengatasi masalah ini, pihak British mengambil beberapa tindakan. Selain daripada mengadakan pelajaran agama Islam pada sebelah petang di semua sekolah Melayu, denda dikenakan ke atas ibu bapa yang tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Bantuan dari pembesar-pembesar Melayu didapatkan untuk menggalakkan ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah.
Langkah-langkah yang tersebut di atas berjaya menambahkan bilangan murid-murid di sekolah Melayu. Seramai 8,000 orang murid menghadiri sekolah Melayu pada 1909. Sehingga awal kurun ke-20, sekolah-sekolah Melayu terhad kepada peringkat sekolah rendah sahaja. Darjah yang paling tinggi ialah Darjah 5. Masalah-masalah yang dihadapi pada masa itu ialah kekurangan guru-guru terlatih dan kekurangan kemudahan di sekolah-sekolah. Mata pelajaran dan kandungan pelajaran yang diajar agak terbatas. Pada masa itu kandungan sukatan pelajaran yang sama merupakan perkara yang penting dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan.
Ini adalah untuk mewujudkan semangat kekitaan di kalangan rakyat. Ustaz dan imam yang mempunyai sedikit pengetahuan tentang Geografi, Sejarah dan Sains menjadi guru di sekolah Melayu.

Penubuhan Maktab Melayu Kuala Kangsar

Maktab Melayu Kuala Kangsar ditubuhkan pada 1905. Ia merupakan sebuah sekolah asrama beraliran Inggeris yang dikhaskan untuk anak Melayu, terutamanya daripada golongan diraja, bangsawan dan orang kebanyakan yang berkelayakan. Pelajar-pelajar di maktab ini diwajibkan mempelajari bahasa Melayu. Maktab ini ditubuhkan kerana kerajaan Inggeris ingin menghasilkan golongan pentadbir Melayu yang dapat berkhidmat dalam pentadbiran negeri bersama-sama dengan pegawai British.
Pendidikan Inggeris

Sekolah-sekolah Inggeris adalah yang awal didirikan di Negeri-negeri Selat. Sekolah Penang Free merupakan sekolah Inggeris yang pertama didirikan di Tanah Melayu dan juga di Asia Tenggara. Sekolah ini didirikan pada 1816.
Sekolah-sekolah Free ialah sekolah-sekolah yang menerima pelajar daripada semua bangsa. Sekolah Penang Free bermula sebagai sekolah rendah dan ditingkatkan ke peringkat menengah pada 1920-an.
Sekolah Melaka Free dimulakan pada 1826 dan Sekolah Singapura Free pada 1834. Apabila kerajaan British campur tangan dalam pentadbiran di negeri-negeri Melayu, sekolah-sekolah aliran Inggeris mula ditubuhkan. Pada 1890, kerajaan British menubuhkan sebuah sekolah khas yang dinamakan Sekolah Raja untuk anak-anak keluarga diraja dan orang-orang besar Selangor.
Ia berharap golongan bangsawan dan Melayu atasan dapat diserapkan ke dalam perkhidmatan awam untuk menjadi pegawai pentadbir yang lebih cekap. Namun,, Sekolah Raja terpaksa ditutup pada 1894 dan tugasnya diambil alih oleh Victoria Institution. Victoria Institution didirikan pada 1893 di Kuala Lumpur dengan kutipan wang orang ramai. Ini bermakna bukan semua sekolah Inggeris dibuka dan dibiayai oleh kerajaan sahaja. Terdapat sekolah Inggeris yang dibuka melalui kutipan wang orang ramai dan juga yang dibuka oleh golongan mubaligh Kristian.

Sekolah-Sekolah Inggeris yang Awal
1816 1816 - Sekolah Penang Free
1826 - Sekolah Melaka Free
1834 - Sekolah Singapura Free
1894 - Victoria Institution di Kuala Lumpur
Sekolah Mubaligh

Golongan mubaligh Kristian mula-mula sekali melibatkan diri dalam menyediakan pelajaran kepada anak-anak penduduk tempatan sejak zaman Portugis di Melaka lagi. Agama Kristian yang dianuti oleh orang Portugis adalah daripada mazhab Roman Katolik. Golongan Kristian daripada mazhab lain seperti Anglikan , Methodist dan Protestant juga turut mendirikan dan menjayakan sekolah-sekolah Inggeris di Tanah Melayu. Sekolah Anglo-Tamil didirikan oleh golongan Methodist di Kuala Lumpur pada 1897. Nama sekolah ini kemudiannya ditukar menjadi Sekolah Laki-laki Methodist.
Sekolah-sekolah yang dikendalikan oleh golongan Methodist dahulunya dikenali sebagai Sekolah Anglo-Chinese seperti di Kampar, Klang dan Seremban. Sekolah laki-laki yang didirikan oleh golongan mubaligh Kristian lazimnya menggunakan perkataan Saint (St) dan sekolah perempuan biasanya menggunakan perkataan Convent. Contohnya, Sekolah St. John's, Sekolah St. Paul's, Sekolah St. Michael, Sekolah St. George dan Sekolah St. Anthony.
Bilangan murid Melayu di sekolah Inggeris adalah kurang. Ini disebabkan oleh ibu bapa Melayu berasa curiga dan takut anak-anak mereka akan dipengaruhi oleh agama Kristian. Sekolah Mubaligh bertujuan mengembangkan agama Kristian dan ilmu pengetahuan. Sekolah ini mendapat bantuan kewangan daripada kerajaan British. Bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa pengantar utama. Murid bukan Islam diwajibkan menghadiri kegiatan yang berkaitan agama Kristian dan kebanyakannya didirikan di kawasan bandar dengan murid bangsa Melayu kira-kira 20% sahaja.
Pendidikan Cina

Sekolah-sekolah Cina di Tanah Melayu telah dimulakan pada awal kurun ke-19. Sekolah-sekolah ini dikelolakan dan dibiayai oleh golongan mubaligh Kristian, persatuan suku (clan association) dan orang perseorangan Cina.
Sebuah sekolah Cina didirikan di Melaka oleh golongan mubaligh pada tahun 1915. Tokoh-tokoh Cina yang berperanan dalam mendirikan sekolah-sekolah Cina di Tanah Melayu adalah seperti Yap Ah Loy, Phua Choon Hiong dan Cheng Soo Leong.
Sehingga 1911, masalah terbesar dalam pendidikan Cina ialah tidak ada keseragaman antara sekolah-sekolah Cina kerana setiap sekolah menggunakan dialek Cina yang berlainan sebagai bahasa pengantarnya. Guru-guru yang mengajar berasal dari China dan mereka tidak mempunyai kelulusan yang sama. Selepas tamatnya Revolusi China pada 1911, sekolah Cina di Tanah Melayu mengalami beberapa perubahan. Bahasa Mandarin atau Kuo Yu (bahasa kebangsaan Cina) digunakan sebagai bahasa pengantar di semua sekolah Cina. Pelajar digalakkan melibatkan diri dalam pergolakan politik yang berlaku di Cina bagi menyemarakkan lagi semangat kebangsaan mereka.
Sebuah sekolah menengah Cina yang pertama ditubuhkan di Singapura pada 1913. Sebelum Perang Dunia Kedua, sistem persekolahan Cina dibahagikan kepada tiga peringkat:

· · Sekolah rendah selama 6 tahun.
· · Sekolah menengah rendah (Junior Middle) selama 3 tahun.
· · Sekolah menengah atas (Senior Middle) selama 3 tahun.

Pelajar yang lulus sekolah menengah boleh melanjutkan pelajarannya ke peringkat universiti. Tiap-tiap sekolah mempunyai Lembaga Pengelola. Perbelanjaan untuk mendirikan dan mengendalikan sekolah Cina ditanggung oleh masyarakat Cina. Pada 1930-an, lebih 65% daripada kanak-kanak Cina di Negeri-negeri Melayu Bersekutu belajar di sekolah Cina.
Kawalan ke Atas Sekolah Cina

Perkembangan awal pendidikan Cina di Tanah Melayu adalah terlalu berkiblat kepada China. Guru-guru dan buku-buku dibawa dari China. Murid-murid diajar mengenai kesusasteraan, sistem politik dan kebudayaan Cina. Kerajaan British hanya mula mengambil langkah untuk mengawal aktiviti-aktiviti sekolah Cina apabila ia diresapi oleh pengaruh komunis.
Kerajaan British meluluskan Enakmen Pendaftaran Sekolah-sekolah pada 1920. Tujuan utama undang-undang ini adalah untuk mengawasi perkembangan sekolah Cina di Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu.
Di bawah undang-undang ini, semua sekolah Cina, guru-guru dan pentadbir dikehendaki mendaftar dengan kerajaan. Pegawai-pegawai pelajaran Cina dilantik untuk memeriksa sekolah-sekolah Cina. Selepas 1945, sukatan pelajaran Cina disemak semula. Buku-buku yang berlatarbelakangkan hal ehwal tempatan mula digunakan dan bahasa Inggeris mula diajar di sekolah-sekolah Cina.

Pendidikan Tamil

Sekolah-sekolah Tamil ditubuhkan berikutan penghijrahan masuk ramai orang India dari India Selatan untuk bekerja sebagai buruh di ladang-ladang kopi, tebu, teh dan getah. Sebuah sekolah Tamil dibuka di Pulau Pinang pada 1810-an. Ia merupakan sebuah cawangan Sekolah Penang Free yang dibuka pada 1816. Sekolah ini tidak maju dan terpaksa ditutup. Kemudian Sekolah Anglo-Tamil didirikan di Melaka. Sekolah ini juga tidak berjaya dan terpaksa ditutup. Sekolah-sekolah Tamil dibuka di Seberang Perai dan Melaka pada 1870-an.
Keadaan sekolah-sekolah ini adalah kurang baik kerana kemudahan yang tidak mencukupi. Pada 1912, kerajaan British meluluskan Undang-undang Buruh di Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Undang-undang ini mewajibkan pihak majikan di ladang-ladang untuk menyediakan sekolah dan guru jika terdapat 10 orang atau lebih anak-anak pekerja mereka yang berumur antara 7 hingga 14 tahun.
Terdapat juga sekolah-sekolah Tamil yang dibina di bandar-bandar yang mempunyai ramai penduduk berketurunan India. Pada tahun 1914, Sekolah Vivekananda didirikan di Kuala Lumpur. Sekolah-sekolah yang ditubuhkan di kawasan bandar dibiayai oleh para dermawan dan persatuan-persatuan India.

Sekolah-sekolah Tamil awal yang didirikan mempunyai beberapa kelemahan iaitu :

· Semua sekolah Tamil menyediakan pelajaran setakat peringkat rendah sahaja dan kebanyakan sekolah menyediakan pelajaran sehingga Darjah 4 sahaja.
· Berbagai-bagai bahasa pengantar digunakan seperti bahasa Tamil, Telegu dan Malayalam.
· Mata pelajaran yang diajar dan kandungannya sama seperti yang diajar di negara India.
· Guru-guru yang dibawa dari India adalah tidak terlatih.

Memandangkan keadaan di sekolah Tamil kurang memuaskan, kerajaan British melantik seorang pegawai nazir sekolah Tamil pada 1930. Tugasnya adalah untuk memperbaiki keadaan di sekolah-sekolah Tamil. Pada umumnya, masyarakat India kurang mampu menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah Tamil. Mereka yang berada lebih suka menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah Inggeris.
Penubuhan Maktab Perguruan

Pada akhir kurun ke-19 dan awal kurun ke-20, beberapa buah maktab perguruan didirikan. Ia bertujuan untuk menambahkan bilangan guru terlatih.

1878 - Maktab Perguruan Teluk Belanga di Singapura
1900 - Maktab Perguruan Melaka
1913 - Maktab Perguruan Perak di Matang
1922 1922 - Maktab Perguruan Sultan Idris di Tanjung Malim
1935 - Maktab Latihan Perguruan Perempuan Melayu Melaka

Maktab-maktab Perguruan

Pada 1916, Richard Winstedt dilantik sebagai Penolong Pengarah Pelajaran Aliran Melayu. Beliau mencadangkan supaya sekolah Melayu memberi perhatian kepada pelajaran perkebunan dan pertukangan tangan. Selain daripada itu, beliau juga mencadangkan supaya tenaga pengajar di maktab perguruan ditambah dan peralatan sekolah yang cukup dibekalkan. Satu cadangan penting Richard Winstedt yang menjadi kenyataan ialah penubuhan sebuah maktab perguruan pusat bagi guru-guru Melayu. Maktab tersebut dibina di Tanjung Malim, Perak pada 1922. Ia dinamakan Sultan Idris Training College (SUTC), sempena nama Sultan Idris yang sentiasa memberi sokongan dan galakan kepada pendidikan Melayu.
Selepas merdeka, maktab ini dikenali sebagai Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI). Tujuan penubuhan maktab ini ialah untuk menggantikan maktab-maktab perguruan di Matang dan Melaka dan melatih guru-guru bagi memenuhi keperluan seluruh Tanah Melayu. Maktab Perguruan Sultan Idris juga menerima pelajar dari Sarawak dan Brunei. Antara pensyarah MPSI yang terkenal ialah Cikgu Buyong bin Adil dan Cikgu Abdul Hadi bin Haji Hassan. Maktab Perguruan Sultan Idris pada masa sekarang dikenali sebagai Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI).

No comments:

Post a Comment